LONDON – Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow akan menghadkan perlepasan penumpang kepada 100,000 sehari pada musim panas ini untuk cuba meminimumkan gangguan pengembara ketika ia bergelut untuk menangani lonjakan permintaan.

Syarikat penerbangan di lapangan terbang paling sibuk di Britain telah pun menjawab rayuan kerajaan untuk mengurangkan kapasiti tetapi Heathrow berkata ia memerlukan komitmen yang lebih.

Ia berkata, syarikat penerbangan, pengendali bagasi dan lapangan terbang secara kolektif boleh memberi perkhidmatan kepada 100,000 penumpang yang berlepas, jumlah yang kerap melebihi dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengakibatkan tahap perkhidmatan tidak dapat menampungnya.

“Sesetengah syarikat penerbangan telah mengambil tindakan penting, tetapi yang lain tidak, dan kami percaya bahawa tindakan selanjutnya diperlukan sekarang untuk memastikan penumpang mempunyai perjalanan yang selamat dan diyakini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lapangan Terbang Heathrow, John Holland-Kaye dalam surat terbuka kepada penumpang hari ini.

Menurutnya, penetapan itu berkuat kuasa dari 12 Julai hingga 11 September.

“Kami menyedari langkah ini bermakna beberapa perjalanan musim panas sama ada akan dipindahkan ke hari lain, lapangan terbang lain atau dibatalkan dan kami memohon maaf kepada mereka yang terjejas perjalanan mereka,” tambah beliau.

Holland-Kaye berkata, ramalan menganggarkan jumlah pelepasan setiap hari pada musim panas secara purata 104,000 melebihi hadnya.

Ia berkata, secara purata kira-kira 1,500 daripada 4,000 tempat duduk harian ini kini telah dijual kepada penumpang dan ia meminta rakan kongsi syarikat penerbangan berhenti menjual tiket musim panas untuk mengehadkan kesan kepada penumpang. – Reuters