Peningkatan  Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak menjejaskan harga mampu milik yang bakal ditawarkan Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang bermula 15 Julai ini.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Peningkatan  Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak menjejaskan harga mampu milik yang bakal ditawarkan Karnival Jom Beli Rumah 2022 yang bermula 15 Julai ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, pembeli bakal ditawarkan dengan rebat dan insentif-insentif tertentu sepanjang karnival berkenaan.

“Kenaikan OPR itu bukan kata tidak menjejaskan kadar pinjaman tapi dalam  karnival nanti akan diberi peratusan-peratusan, insentif-insentif tertentu, rebat dan sebagainya jadi ini mengurangkan sedikit sebanyak kenaikan OPR.

“Tapi kita tetap mengawal tetap kena RM300,000 ke bawah walaupun  OPR  naik. Tidak boleh melebihi dasar mampu milik negara,” katanya ketika ditemui di Program Ibadah Korban Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Bersama warga JBPM Tahun 2022 di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14 hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, karnival berkenaan dijangka memenuhi keperluan golongan muda terutama B40 dan M40 dengan menampilkan hartanah mampu milik kepada mereka.

Sebanyak 10,000 rumah mampu milik seluruh negara akan ditawarkan dengan harga RM300,000 ke bawah menerusi karnival yang sama yang diadakan selama tiga hari di Pusat Pameran Mid Valley itu nanti.

Untuk rekod, Jawatankuasa Dasar Monetari  Bank Negara Malaysia baru-baru ini menaikkan OPR yang menjadi penanda aras pinjaman dan tabungan iaitu sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus kepada 2.25 peratus.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast