Temubual ekslusif SkopMG bersama Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli di Studio MG, Sungai Besi, Kuala Lumpur. . Foto MUHD NA'IM, 01 APRIL 2022.
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa untuk memilih 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang menolak idea khemah besar bagi melengkapkan barisan kepimpinan untuk sesi 2022-2025.

Pengundian akan dijalankan pada hujung minggu ini.

Rafizi Ramli berkata, sebahagian besar anggota PKR di seluruh negara pada dasarnya menolak khemah besar dan mahu parti ini membina kekuatan sendiri.

“Undilah calon-calon yang konsisten menolak khemah besar,” katanya menerusi Facebook.

Beliau juga menggalakan ahli PKR memilih calon-calon yang mempunyai kepakaran masing-masing yang boleh digunakan untuk membina kekuatan parti dan wajar menjauhi budaya mengangkat pemimpin yang hanya mahu mengisi jawatan tetapi tidak berfungsi atau tidak ada sebarang idea untuk menambahbaik parti.

“Pilih calon-calon yang tidak pernah terpalit dengan episod-episod yang membawa masalah kepada parti.

”Elakkan dari mengundi calon-calon yang pernah bersekongkol dengan individu atau kumpulan yang telah mengkhianati parti atau kumpulan yang membawa budaya bodek/samseng yang ditolak anggota parti baru-baru ini,” tambahnya yang turut menyenaraikan 25 calon yang dikatakan boleh memainkan peranan penting.

Rafizi berkata, beliau mengambil sikap terbuka dan meraikan semua yang bertanding, oleh itu beliau mengambil sedikit masa untuk meneliti kelebihan dan peranan yang boleh dimainkan oleh calon-calon sebelum mengumumkan senarai calon yang diyakini boleh melonjakkan parti selepas ini. – MalaysiaGazette