Enam suspek diringi polis ketika hadir di Mahkamah Majistret Melaka hari ini.

MELAKA – Enam individu diarah membayar denda sebanyak RM1,000 setiap orang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bergaduh di tempat awam pada jam 3 pagi, 3 Julai lalu.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua enam tertuduh, Muhammad Farid Mail, 23, Muhammad Ramdhan Omar,24, Muhammad Danish Fahmi Rosdi, 22, Muhammad Firduwan Jaafar, 23, Hasroy Hasnan, 30 dan Ahmad Irwan Azman, 31, mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didapati secara bersama-sama telah melakukan gaduh gempar di tempat awam hingga memecahkan keamanan dan ketenteraman awam.

Tindakan itu dilakukan pada jam 3 pagi di sebuah pub hiburan di Taman Melaka Raya pada 3 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama rakannya iaitu Hasroy telah dipukul sekumpulan lelaki tidak dikenali menggunakan botol sehingga mengalami kecederaan.

Kejadian berpunca apabila pengadu cuba meleraikan perselisihan faham membabitkan seorang individu dikenali sebagai Onet.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap kesemua tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian memerintahkan setiap tertuduh membayar denda sebanyak RM1,000 atau penjara empat bulan jika gagal bayar.

Kesemua tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette