Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman

KUANTAN – Penguatkuasa Jabatan Agama Islam di seluruh negara dicadangkan mengambil tindakan secara serentak dan tegas apabila berdepan dengan isu menghina agama Islam seperti rakaman video yang tular baru-baru ini.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, walaupun insiden itu berlaku di Kuala Lumpur, namun hantaran tersebut boleh disaksikan rakyat yang beragama Islam di merata tempat.

“Kita mengharapkan semua penguatkuasa seluruh Malaysia bersepakat ambil tindakan kepada mereka yang menghina agama Islam kerana tindakan boleh boleh diambil di mana lokasi terjadi.

“Bahkan banyak enakmen boleh dengan seksyen serta peruntukan undang-undang yang ada boleh didakwa jika mereka menghina agama Islam.

“Yang penting penguatkuasa perlu aktif dan memantau menangani isu menghina agama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas seorang wanita yang mendakwa berketurunan Melayu, beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran membuka tudung serta baju kurung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha selepas memperkenalkan diri.

Siti Nuramira Abdullah yang didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan pada hari ini kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, pepecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan dalam kalangan umat Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur pada 4 Jun lalu bagaimana[pun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Tambah Dr. Abdul Rahman, tindakan penguatkuasaan sewajarnya dengan melakukan siasatan juga boleh diambil di Pahang memandangkan rakaman video itu boleh disaksikan penduduk Pahang.

“Justeru perkara sedemikian boleh diambil tindakan, saya rasa begitu, jadi kita dapatkan nasihat Penasihat Undang-undang negeri membuat tindakan yang sama,

“Mungkin perbincangan boleh dilakukan bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati agar boleh membuat tindakan yang tepat secara bersama,” ujarnya. – MalaysiaGazette