Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir ke mahkamah bagi pembicaraan kes rasuah Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah menangguhkan pendengaran permohonan injunksi interim (sementara) yang dimohon oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos depan.

Untuk makluman, sepatutnya pendengaran permohonan itu dijalankan pada petang ini namun difahamkan Muhyiddin mahu melakukan afidavit tambahan berhubung injuksi tersebut.

Perkara itu yang disahkan oleh peguam mewakili Ahmad Zahid, Baharudeen Mohamed Ariff yang mendedahkan pihaknya telah diperintahkan oleh mahkamah untuk memfailkan afivadit balas sebelum atau pada 22 Julai ini.

“Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff telah perintahkan afidavit balas pada 22 Julai ini. Pendengaran akan dilakukan melalui aplikasi Zoom kelak,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah memohon perintah injuksi untuk menghalang Muhyiddin serta pegawai dan wakilnya daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan, menerbit atau mengedar dan menyebarkan fitnah berkaitan dakwaan dirinya memohon bantuan untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di mahkamah ketika ini.

Dakwa Ahmad Zahid, Muhyiddin telah melakukan fitnah terhadapnya dengan niat jahat pada  majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 pada 16 Februari lepas.

Rakaman itu juga telah diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro Awani yang dikendalikan oleh portal berita berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet.

Ahmad Zahid juga telah memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ahmad Zahid turut memfailkan saman serupa terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad atas tuduhan sama.

Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mengenakan perintah injunksi terhadap Mahathir berhubung dakwaan beliau meminta bekas Perdana Menteri itu mencampuri urusan kes yang sedang dihadapinya di mahkamah pada 5 Julai lepas. -MalaysiaGazette