BUKIT MERTAJAM – Jabatan Perikanan menggesa kumpulan sasar terutamanya penternak akuakultur untuk melakukan pendaftaran di sistem GeoAgro sebelum mendaftar bagi Program Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani).
Ketua pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, ia susulan hanya 1,232 penternak akuakultur yang telah membuat permohonan bagi Budi Madani setakat ini berbanding jumlah keseluruhan seramai 7,900 penternak yang berdaftar di Semenanjung.
“Meskipun pelaksanaan program (Budi Madani) mendapat sambutan yang menggalakkan namun permohonan baginya agak perlahan.
“Sehubungan itu, kita gesa semua penternak akuakultur untuk membuat permohonan Budi Madani bagi membolehkan mereka menerima bantuan dan insentif yang disediakan pihak kerajaan, sekiranya layak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival myAgroprenur (myAP) dan my komuniti Perikanan (myKP) Zon Utara di Mydin Bukit Mertajam di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengembangan Perikanan, Khazlita Adzim Abdul Azizi dan Pengarah Perikanan negeri, Zarina Zainuddin.
Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini turut mengumpulkan 18 usahawan dari Pulau Pinang, Perlis serta Kedah untuk mempromosikan produk tempatan terus kepada masyarakat.
Tambah Adnan, penerima yang layak akan menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Sementara itu, mengulas mengenai Banci Pertanian, Adnan berkata, bancian yang diadakan selama tiga bulan itu akan bermula 7 Julai depan sehingga 10 Oktober.
“Bancian Pertanian itu meliputi semua subsektor di bawah Kemeterian Pertanian Terjaminan Makanan.
“Bagi sektor Perikanan, ia meliputi tiga subsektor perikanan tangkapan yang melibatkan nelayan yang menangkap ikan di laut, subsektor akuakultur dan juga subsektor nelayan darat yang menangkap ikan di sungai, tasik serta lombong.
“Mengikut data, kita ada lebih kurang 49,000 bot penangkapan ikan berlesen dan diikuti dengan penternak akuakultur (21,000) serta nelayan darat (14,000) di seluruh negara.
“Jadi 84,000 kumpulan ini yang akan terlibat dalam bancian tersebut dan kita harap mereka memberi kerjasama penuh agar membolehkan kerajaan memperoleh data yang menyeluruh supaya gambaran lebih jelas mengenai sektor berkenaan dapat dicerap,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan sebanyak 1.6 juta pihak terlibat dalam sektor pertanian diliputi dalam Banci Pertanian 2024 yang dilaksanakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bermula Julai depan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah itu berdasarkan dapatan yang diperoleh setakat ini melibatkan kumpulan petani, pemegang kecil serta pertubuhan syarikat-syarikat besar yang berkaitan dengan pertanian. – MalaysiaGazette