KUALA LUMPUR – Banyak lagi isu rakyat perlu dibincang dan disuarakan berbanding menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri, tegas Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu terheret dengan tuntutan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sebaliknya lebih sibuk menangani penderitaan rakyat yang semakin tenat sekarang ini.
“Sekarang kalut pula mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri. Alangkah baiknya jika pemimpin politik dan parti yang berkongsi kuasa ini lebih kalut dan garang membincang serta menyuarakan penderitaan rakyat.
“Banyak isu melibatkan kepentingan rakyat tidak diselesaikan, bukan melayan parti Bersatu yang menuntut jawatan untuk mencukupkan kuota dalam Kabinet,” katanya ketika diminta mengulas keadaan politik dan pentadbiran kerajaan hari ini.
Mengenai jawatan itu, Dr. Ibrahim menjelaskan, Pas juga yang beruntung kerana mengamalkan sikap kangkang iaitu kaedah yang digunakan untuk ‘makan’ atau ambil hati kedua pihak.
Katanya, sejak menjadi sebahagian daripada rakan gabungan Perikatan Nasional (PN), parti yang mendakwa membangun bersama Islam itu sudah makin cerdik dan mahir mencari makan.
“Pas dakwa jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya sekadar perjanjian (MoU) sahaja, bukan perkara yang mesti ditunaikan,” katanya.
Beliau berkata, selain mahukan jawatan nombor dua kerajaan, parti Bersatu juga sibuk menuntut kerusi menteri milik Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah lompat keluar dari parti itu.
Katanya, walaupun bekas Ketua Wanita PKR itu sudah dua kali lompat parti, tetapi masih diberi peluang memegang jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, yang menimbulkan kemarahan Bersatu.
“Pada saya, kerusi Timbalan Perdana Menteri tidak perlu diisi kerana jawatan itu tidak ada dalam Perlembagaan Negara dan fungsinya juga tidak memiliki kuasa eksekutif.
“Zuraida pula selepas keluar dari Bersatu, dia boleh disingkirkan dari Kabinet tanpa perlu diganti tempatnya kerana Kabinet sekarang sudah mempunyai lebih 70 Menteri dan timbalan termasuk lantikan penasihat bertaraf Menteri.
“Cukuplah Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), walaupun tidak ada fungsi, tapi cukup glamor,” katanya.
Menurut Dr. Ibrahim, suara yang membantah tuntutan kerusi Timbalan Perdana Menteri adalah UMNO, manakala Pas pula memilih jalan selamat daripada mencampuri urusan yang tidak memihak kepadanya.
Beliau menegur UMNO dan Bersatu yang lebih suka berbalah merebut jawatan dalam Kabinet, bukan duduk semeja mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.
“Di luar sana, terdapat seribu satu masalah membelenggu negara seperti kehakisan kepentingan Melayu dan pribumi yang makin ketara dan pembahagian kek ekonomi antara kaum makin melebar.
“Tanah rizab Melayu pula semakin mengecil serta isu milik harta di bandar dan di pekan langsung tidak mendapat perhatian walaupun mereka mendakwa berjuang untuk umat Melayu dan pribumi.
“Mereka mendakwa kerajaan Melayu Islam, tetapi MCA telah memberi amaran supaya tidak menyebut kerajaan Melayu Islam. Namun, apa jadi dengan peminpin Melayu Islam dalam UMNO, Bersatu dan Pas? Senyap seribu bahasa,” katanya.
Beliau juga mengkritik UMNO dalam isu pemilihan parti sehingga sanggup meminda perlembagaan parti supaya diadakan beberapa bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). – MalaysiaGazette