Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

PETALING JAYA – Polis mengesahkan tentang kekecohan yang berlaku dalam satu mesyuarat yang diadakan di pejabat PKR cabang Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, aduan insiden di Kota Damansara semalam diterima jam 10.30 pagi tadi.

“Saya boleh sahkan bahawa kami menerima satu laporan polis daripada seorang ahli jawatankuasa bahagian itu yang berada dalam mesyuarat berkenaan semasa kekecohan itu berlaku.

“Namun, saya difahamkan tiada sebarag kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian tersebut,” katanya hari ini.

Rentetan laporan itu, polis telah membuka kertas siasatan untuk tindakan lanjut.

“Polis juga akan memanggil beberapa orang individu berhubung kekecohan yang berlaku dalam mesyuarat itu bagi membantu siasatan lanjut kami selepas ini,” tegasnya lagi.

Katanya, pengadu mendakwa seorang lelaki dipercayai pemandu kepada seorang ahli politik didakwa menceroboh masuk ke dalam bilik mesyuarat itu tanpa kebenaran.

Individu berkenaan kemudian dikatakan cuba memaksa beberapa ahli jawatankuasa agar mengikutnya untuk perbincangan di tingkat bawah pejabat PKR itu

Situasi itu dikatakan berpunca berikutan wujud ahli jawatankuasa yang tidak berpuas hatiĀ  senarai nama lantikan ketua cabang yang didakwa pihak berkenaan telah dibuat tanpa membabitkan perbincangan semua pihak. – MalaysiaGazette