Foto: FB Gotabaya Rajapaksa

COLOMBO – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari negara itu dengan menggunakan pesawat tentera ketika protes secara besar-besaran dilakukan berikutan krisis ekonomi.

BBC difahamkan beliau yang berusia 73 tahun tiba di Male, Maldives kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan (22.00 GMT).

Tindakan tersebut mengakhiri dinasti Rajapaksa yang memerintah Sri Lanka berdekad-dekad lamanya.

Presiden itu bersembunyi selepas orang ramai menyerbu kediamannya pada Sabtu lalu.

Menteri Kewangan, Basil Rajapaksa yang merupakan adik kepada Gotabaya turut meninggalkan negara itu, kata sumber kepada BBC.

Beliau menuju ke Amerika Syarikat.
Pada petang semalam, beribu-ribu orang berhimpun menunggu presiden itu untuk meletak jawatan.
Rakyat Sri Lanka menyalahkan pentadbiran Rajapaksa yang menyebabkan krisis ekonomi terburuk.
Pemimpin tersebut dipercayai mahu melarikan diri ke luar negara dan melepaskan jawatan selepas itu bagi mengelakkan kemungkinan ditahan oleh pentadbiran baharu. – Agensi