Seorang pelawak solo, Siti Nuramira Abdullah dibawa oleh anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan menghina Islam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang mengaku hafal 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian dan tudung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek di sebuah kelab komedi mengaku tidak bersalah menghina Islam di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Siti Nuramira Abdullah didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, pepecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan dalam kalangan umat Islam ketika membuat persembahan di Crackhouse Comedy Club, Taman Tun Dr Ismail, di sini pada 4 Jun lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Siti Nur Nuramira, 26, emudian mohon dibicarakan terhadap pertuduhan yang memperuntukan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Pada Sabtu lalu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya dan dia direman empat hari sehingga hari ini, manakala teman lelakinya ditahan pada Ahad dan direman selama tiga hari.

Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan penularan rakaman video berdurasi 54 saat di media sosial yang memaparkan seorang mendakwa berketurunan Melayu, beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran membuka tudung serta baju kurung dipakainya dan mendedahkan pakaiannya iaitu baju terdedah sebahagian dada tanpa lengan serta memakai skirt pendek yang menampakkan sebahagian paha selepas memperkenalkan diri. – MalaysiaGazette