SuruhanJaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 09 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melancarkan Ops Hire bagi menyiasat isu berbubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif Program Penjana Kerjaya (Penjana Kerjaya) yang dilaporkan di beberapa negeri.

Operasi besar-besaran berkenaan dikendalikan oleh SPRM termasuk di negeri-negeriĀ  secara serentak bermula hari ini.

“Untuk makluman, Program Penjana Kerjaya merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja semasa mendepani cabaran Covid-19 bermula awal tahun 2020.

“Program ini dilaksanakan oleh Perkeso bagi merangsang ekonomi negara melalui pengwujudan pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, kata SPRM pihaknya dengan kerjasama Perkeso membangunkan maklumat menerusi pemantauan dan risikan terhadap penerima dana dan hasilnya mendapati ada majikan-majikan yang mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana ini.

“SPRM memandang serius isu berkenaan kerana ia berkepentingan awam sekali gus memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh bagi memastikan pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan tegas berlandaskan undang-undang yang berkuatkuasa,” tegasnya.-MalaysiaGazette