SINGAPURA- Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia Ng Tze Yong melakukan kejutan hari ini apabila menewaskan pemain nombor 12 dunia, Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2022 yang mendebarkan di Stadium Tertutup Singapura di sini.
Tze Yong yang berada di ranking ke-48 dunia mengatasi Ka Long yang lebih berpengalaman untuk menempat slot ke pusingan kedua.
Bagaimanapun, Ka Long, 28, memberikan tentangan hebat dalam set berikutnya memaksa Tze Yong bekerja keras mengejar mata yang menambah tekanan kepada pemain muda Malaysia itu.
Tze Yong yang ketinggalan 13-15 mengejar sehingga kedudukan 15-16 dan hanya memberikan satu lagi mata kepada Ka Long sebelum menamatkan set kedua dengan 21-17.
“Saya gembira ini kali pertama saya menewaskan seorang pemain ranking tinggi. Semoga saya boleh meneruskan momentum kemenangan ini,” kata Tze Yong.
Kemenangan Tze Yong melengkapkan kejayaan kem negara di hari kedua kejohanan selepas empat daripada tujuh beregu campuran melangkah ke pusingan kedua.
Bermula daripada Chen Tang Jie-Valeree Siow yang menewaskan pasangan New Zealand Oliver Leydon Davis-Anona Pak 21-14, 21-14 kemudian disusuli Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei.
Beraksi buat kali pertama dalam kejohanan ini di sini, Pang Ron-Ee Wei mengatasi perasaan gemuruh mereka sebelum memenangi set pertama 23-21 dan bermain dengan lebih baik untuk memenangi set kedua 21-16.
“Ya, kami agak goyah dalam set pertama. Keadaan angin di dalam arena ini juga tidak membantu. Mujur Ei Wei tidak menghadapi masalah sama ketika dia beraksi berhampiran jaring,”kata Pang Ron.
Lawan mereka untuk perlawanan pusingan kedua ialah beregu nombor 13 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dari Denmark yang menjinakkan pasangan tuan rumah Terry Hee-Jessica Tan 21-18, 21-14.
Tang Jie-Valeree akan bertemu pasangan Hong Kong, Reginald Lee-Ng Tsz Yau yang menewaskan Feng Yan Zhe-Lin Fang Ling dari China 11-21, 21-13, 21-14.
Pasangan profesional Malaysia, Goh Soon Huat- Shevon Lai melangkah ke pusingan kedua tanpa perlu mengangkat raket selepas Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dari Taiwan memberi kemenangan mudah kepada wakil Malaysia itu.
Terdahulu, Chong Hong Jian-Peck Yen Wei yang bertemu Jaguh Dunia, Deachapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand tewas 16-21,12-21.
Soong Joo Ven-Goh Liu Ying juga ditunjukkan jalan keluar oleh beregu campuran senegara Chan Peng Soon-Cheah Yee See, yang menewaskan mereka 21-14, 21-18.
Wong Tien Chi-Lim Chiew Sien juga mengalami nasib sama selepas tewas kepada pasangan Indonesia Rinov Rivaldy-Pitha Mentari, 14-21, 16-21.
Dalam perseorangan lelaki, wakil Kanada Brian Yang mengambil peluang daripada penarikan diri Viktor Axelssen daripada kejohanan apabila menewaskan Juara Masters Malaysia yang baru dimahkotakan Chico Dwi Wardoyo of Indonesia 21-12, 21-17.
Beliau akan bertemu Zhao Jun Peng dari China yang sebelum ini menewaskan pemain Thailand Khosit Phetpradap 21-8, 21-9 untuk satu slot ke suku akhir. – Bernama