Ir. Mohamed Ghous Ahmad (paling kiri) menunjukkan lima kawasan capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi di negeri Kedah kepada Romani Wan Salin (dua, kiri) ketika Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology peringkat negeri Kedah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 33,000 kediaman di Sungai Petani, Kulim, Kuala Ketil, Mergong dan Aman Jaya yang sebelum ini tidak mempunyai capaian (underserved), menikmati capaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Capaian itu menerusi  Allo Technology Sdn Bhd (Allo) yang memperkasakan infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital untuk dinikmati rakyat dengan terkini menghubungkan lima kawasan di Negeri Kedah.

Allo adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad.

Kedah adalah negeri ketiga melancarkan projek kemudahan rangkaian telekomunikasi Allo itu selepas Melaka dan Perak. Sehingga kini 180,000 premis telah dihubungkan dengan rangkaian jalur lebar gentian optik Allo meliputi Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor (Cyberjaya).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif Allo tepat pada masanya dengan pembangunan infrastruktur jaringan telekomunikasi dan digital adalah antara agenda utama yang terkandung dalam teras Pelan Pembangunan Kedah 2035.

”Ia menjadi penggalak dalam merancakkan pertumbuhan dan kemajuan ekonomi di negeri jelapang padi ini. Jadi, manfaatkanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya dalam urusan masing-masing, terutama yang boleh memberi nilai tambah dalam aspek ekonomi serta kesejahteraan kehidupan,” katanya dalam teks yang dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi & Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Datuk Romani Wan Salin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kawalselia & Pengurusan Stakeholder TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Allo Technology Sdn Bhd, Ir. Mohamed Ghous Ahmad

TNB melalui Allo memanfaatkan infrastruktur sedia ada miliknya iaitu talian fiber optik sepanjang hampir 25,000km yang disokong oleh 472 Pencawang Masuk Utama (PMU) di seluruh Semenanjung Malaysia, bagi mewujudkan jaringan rangkaian telekomunikasi di bawah program JENDELA.

Menurut Roslan, inisiatif menyokong JENDELA bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di kawasan yang tidak mempunyai capaian, adalah selaras dengan aspirasi TNB sebagai pembekal terunggul bagi solusi tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

”Program ini turut menyokong aspirasi serta komitmen TNB dalam mengurangkan perubahan iklim melalui penggunaan teknologi digital secara cekap dan meluas dalam urusan seharian manusia,” katanya.

Roslan menjelaskan, pengunaan teknologi digital dalam urusan seharian bagi menggantikan proses sedia ada yang kurang mesra alam, mempunyai sumbangan positif terhadap aspirasi TNB bagi mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

Beliau merujuk kepada pelbagai aktiviti dan transaksi secara dalam talian termasuk urusan perniagaan, perbankan, komuniti dan pendidikan, sekali gus tidak perlu lagi melakukan perjalanan dan sebagainya yang hanya menambah pelepasan karbon.

Ia adalah sejajar agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) TNB dalam merangka strategi peralihan tenaga menuju kehidupan lestari sepertimana komitmennya dalam Hala Tuju Kelestarian 2050 TNB (TNB Sustainability Pathway 2050).

Infrastruktur disediakan Allo menghubungkan 14,745 premis di Kulim, Aman Jaya (9,568), Kuala Ketil (3,695), Mergong (2,574) dan Sungai Petani (2,376).

Premis terbabit boleh mendapatkan pembekal perkhidmatan runcit atau Retail Service Providers (RSP) iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone bagi melanggan pakej-paket internet. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast