1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 12 Ogos kerana saksi pendakwaan tidak sihat.

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Haniff Lami difahamkan mengalami pendarahan dan tidak mampu memberikan keterangan pada prosiding yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari ini.

Pada prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Ram memberitahu, Hanif telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada saat akhir.

Tambah beliau, ia menyebabkan pasukan pendakwaan menghadapi kesukaran menyambung prosiding memandangkan saksi terakhir mereka ialah Hanif.

“Saya cuba atur supaya saksi ini memberi keterangan melalui aplikasi Zoom tetapi kita tidak ada masa yang cukup untuk memberitahu mahkamah. Kerana itu, saya mohon maaf kerana kami telah maklumkan agak lewat.

“Saksi hanya beritahu kita sekitar jam 7 malam tadi,” katanya.

Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berdepan dengan tuduhan meminda laporan syarikat pelaburan strategik itu.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan ketika itu mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Kedua-dua mereka sedang didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette