Nor Fatini dan adiknya Muhammad Hazman menyiramkan air di pusara ibu bapa serta dua kakak mereka di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir, Pulau Pinang awal pagi tadi.

SEBERANG PERAI – Jenazah empat beranak yang maut dalam nahas membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Ipoh, Perak petang semalam, selamat disemadikan awal pagi tadi.

Keempat-empat mereka iaitu Rahim Ramli, 60, yang merupakan pesara polis, isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan, Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27 tahun disemadikan dalam satu liang di Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Jenazah empat beranak itu disemadikan dalam satu liang lahad.

Terdahulu, kesemua jenazah yang dibawa menaiki empat van jenazah keluar dari Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh kira-kira jam 11.30 malam, selepas proses bedah siasat selesai dan tiba di perkarangan Masjid Jamek Tuan Haji Abdul Latiff, Permatang Pasir yang merupakan kampung halaman Siti Petimah pada jam 1.30 pagi.

Semua jenazah disembahyangkan pada jam 2 pagi oleh 60 jemaah selepas dua anak mangsa iaitu Nor Fatini dan adiknya Muhammad Hazman serta waris terdekat diberi peluang melihat mereka sebelum dibawa ke kawasan perkuburan.

Perasaan hiba turut menyelubungi suasana perkarangan masjid berkenaan yang dikunjungi keluarga dan rakan.

Empat beranak itu dilaporkan maut selepas kereta jenis Proton Persona yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan tujuh kenderaan termasuk sebuah treler di KM277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Perak.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan masjid serta kawasan kubur.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, anggota yang dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang mendapati empat mangsa tersepit iaitu seorang lelaki dan tiga wanita.

Kira-kira 10 orang individu dipercayai anggota keluarga mangsa, dilihat berada kawasan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh ketika proses pengecaman jenazah.

Selain itu, solat jenazah turut dilakukan di perkarangan jabatan berkenaan sebelum kesemua jenazah dibawa menaiki van. – MalaysiaGazette