Stadium Sultan Muhammad ke IV

KUALA LUMPUR – Setelah menanti sekian lama, akhirnya tarikh 18 Julai ini akan menjadi detik istimewa buat Kelantan FC yang akhirnya berpeluang bermain di laman keramat mereka iaitu di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya mengakui, beliau dan pemain sudah lama menantikan detik tersebut setelah mengharungi separuh perjalanan untuk musim ini.

Justeru, beliau mengharapkan penonton-penonton setia akan sentiasa memenuhi perlawanan di Kota Bharu sebagai pemain ke-12 buat pasukan yang kini dalam misi merebut kejuaraan Liga Premier.

“Sudah lama saya dan pemain-pemain tunggu untuk bermain di Kota Bharu dan perlawanan pada minggu depan ini memang sesuatu yang istimewa.

“Sorakan dari penyokong setia Kelantan sudah pasti mahu didengari oleh kami yang secara tidak langsung akan memberi tonik tambahan kepada pemain-pemain.

“Saya juga mengharapkan stadium sentiasa dibanjiri dengan penyokong pada setiap kali perlawanan bila Kelantan menjadi tuan rumah,” katanya.

Stadium Sultan Muhammad ke IV yang telah melalui kerja penambahbaikan sejak hujung musim lepas akhirnya boleh digunakan apabila perlawanan Liga Premier ke-12 membabitkan Kelantan United FC dan PDRM FC pada Sabtu ini bakal menjadi aksi sulung buat musim 2022.

Kelantan FC pula akan turun beraksi dua hari kemudian berdepan UiTM FC dengan waktu sepak mula dijadualkan pada 4.45 petang.

Dua pemain import baharu telah disambar Kelantan FC iaitu Kenta Hara (Jepun) dan Felipe Hedera (Brazil) bagi menggantikan Natanael Siringoringo serta Fadel Antar.

Selain itu, pemain pertahanan, Abdul Latiff Suhaimi, turut menjadi aset terbaharu Kelantan selain Shafiq al-Hafiz, kedua-duanya dari Penang FC.

Ujar Rezal, beliau melihat kehadiran Hara dan Hedera mampu meletakkan Kelantan berada pada satu tahap lebih baik terutama di bahagian tengah serta sayap selain faktor pengalaman dimiliki Latiff.

“Hara dibawa masuk untuk ambil tempat Siringgoringo di bahagian sayap kiri manakala Hedera menguatkan posisi tengah selepas ketiadaan Mior Dani.

“Setakat ini saya lihat mereka boleh menambahkan lg kekuatan pasukan terutama di bahagian tengah dan serangan.

“Latiff sudah pasti dalam aspek pengalaman, dia mampu memberikan sesuatu di bahagian pertahanan selain Khairul Helmi.

“Cuma ada sedikit kerisauan tentang kecergasan pemain kerana kita tiada minit permainan yang kompetitif selepas tidak beraksi hampir dua bulan.

“Namun apa lebih penting bagi saya adalah persefahaman pemain baru dan lama yang semakin menunjukan keserasian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast