Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee

SEPANG – Kerajaan bersetuju untuk menubuhkannya Pusat Sehenti Kuarantin Negara (OSQC) di pintu masuk utama pengimportan dan pengeksportan negara bagi memperkukuhkan kawalan biosekuriti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, perkara iru dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sekuriti Makanan Negara bulan lalu.

Sebagai permulaan, OSQC akan diwujudkan di Pelabuhan Klang, pintu masuk terbesar negara.

Bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan lanjut.

Menurutnya, OSQC akan menyediakan fasiliti kuarantin dan keselamatan agromakanan yang bersepadu termasuk pemeriksaan, rawatan kuarantin, pengujian, penyelidikan, pemantauan dan pelupusan ke atas komoditi pertanian dan produk agro makanan.

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) akan dibantu oleh penggunaan teknologi tinggi, automasi, moden dan standard bagi memastikan matlamat kawalan biosekuriti tercapai dan meningkatkan perdagangan di pintu masuk negara.

”Kita akan memastikan dari aspek biosekuriti memenuhi kehendak dan juga keperluan yang ditetapkan bagi memastikan barang makanan yang diimport masuk terkawal dan terjamin.

”Dengan adanya OSQC ini, pemeriksaan menjadi lebih cepat dan terperinci,” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan operasi pengimportan dan pengeksportan produk pertanian dan haiwan di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Jelas beliau, MAFI melalui MAQIS adalah benteng utama bagi menjaga jaminan bekalan dan keselamatan makanan yang diimport.

Selain itu, ia juga memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak atau penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal di semua pintu masuk negara demi jaminan sekuriti makanan. -MalaysiaGazette