bendera korea utara
Gambar Hiasan

SEOUL – Korea Utara secara rasmi mengiktiraf kemerdekaan dua ‘republik rakyat’ yang dikuasai puak pemisah Rusia di timur Ukraine, menjadikannya negara ketiga mengiktirafnya, menurut media Korea Utara.

Menteri Luar Korea Utara, Choe Son-hui telah menghantar surat kepada rakan sejawatnya di Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Luhansk semalam dan mengiktiraf entiti terbabit, kata Korean Central News Agency (KCNA).

Sebelum ini Rusia dan Syria menyokong kemerdekaan entiti tersebut, lapor agensi berita Yonhap.

“Dalam surat tersebut, beliau memaklumkan bahawa DPRK (Korea Utara) memutuskan untuk mengiktiraf kemerdekaan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Luhansk dan menyatakan kesungguhan untuk membentuk hubungan negara dengan negara bersama negara-negara itu menerusi idea kemerdekaan, keamanan dan persahabatan,” katanya.

Terdahulu, Ukraine mengumumkan ia memutuskan hubungan dengan Korea Utara berikutan langkah negara itu mengiktiraf wilayah yang dikuasai puak pemisah Rusia. – Agensi