Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh (tengah) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Malaysia International Retail & Franchise Exhibition 2022 (MIRF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR –  Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasar untuk mewujudkan sebanyak 18,000 peluang  pekerjaan  baharu dalam industri runcit dan francais menjelang 2025.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, peluang menerusi agensinya, Perbadanan Nasional Bhd. (Pernas) itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam membangunkan  lebih ramai usahawan khususnya di dalam bidang francais.

Sehubungan itu, menurut beliau, kerjasama yang terjalin di antara agensi-agensi  kerajaan seperti Pernas dan penggiat industri termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan usahawan seharusnya diteruskan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Kerajaan benar-benar memahami bahawa sebahagian daripada perniagaan dan tenaga  kerja yang terlibat dalam industri runcit terjejas teruk oleh situasi pandemik.

“Oleh itu, atas semangat Keluarga Malaysia, KUSKOP menerusi 11 agensi telah menyediakan peruntukan lebih daripada RM7 bilion kepada usahawan dan golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 pada tahun lepas.

“Antara kumpulan yang mendapat manfaat daripada peruntukan itu adalah golongan  terkesan kerana pandemik termasuk kumpulan informal serta perusahaan kecil  sederhana (PKS) termasuklah usahawan-usahawan runcit dan francais.

“Kementerian melalui Pernas juga bertanggungjawab dalam mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dengan rantaian nilai yang menyeluruh disokong oleh   teknologi digital di samping memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi melalui bidang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Pameran Runcit dan Francais Antarabangsa Malaysia (MIRF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Zamri Salleh.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh berucap pada Majlis Perasmian Malaysia International Retail & Franchise Exhibition 2022 (MIRF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2022.

Noh menambah, kerajaan mengiktiraf kepentingan industri runcit dan francais kepada  ekonomi negara serta telah meletakkan sasaran industri francais untuk menyumbang  9.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2022.

Oleh yang demikian kata beliau, adalah penting bagi kerajaan untuk membangunkan dasar yang lebih luas merangkumi semua segmen industri runcit dan francais dalam negara ini.

Sementara itu, MIRF anjuran Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) yang berlangsung tiga hari bermula hari ini akan memberi fokus kepada tema Mulakan Semula: Peruncitan & Francais.

Ia melibat penyertaan lebih 400 gerai pameran daripada industri runcit dan francais antaranya termasuk Marrybrown, Bask Bear Coffee, Ah Cheng Laksa, Vanilla Crepe, Laundrybar dan banyak lagi.

Ekspo ini juga menampilkan syarikat asing dari lebih 10 negara, termasuk Korea Selatan, Singapura, Taiwan, India, Pakistan, Jepun, Cyprus dan Filipina serta menyediakan satu bahagian khusus bagi mempromosikan produk Halal dalam usaha menyediakan platform untuk pemadanan perniagaan yang berkualiti.

MIRF 2019 yang berjaya menarik 350 gerai dan menjalankan transaksi urus niaga bernilai lebih RM80 juta dalam hasil perniagaan. – MalaysiaGazette

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Zamri Salleh (tengah) menyaksikan sesi penukaran memorandum persefahaman antara Malaysia Retail Chain Association (MRCA) yang diwakili oleh Presiden MRCA, Sharan Valiram (dua kiri) dengan Busan Franchise Association yang diwakili oleh Pengerusi Busan Franchise Association, Nam Gooman (dua kanan) pada Majlis Perasmian Malaysia International Retail & Franchise Exhibition 2022 (MIRF) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 14 JULAI 2022.