Ops Motosikal oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang bermula jam 8 malam diadakan secara bersepadu bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diadakan di Tanjung Lumpur, Kuantan

KUANTAN – Lima individua antara yang ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine daripada hasil saringan ke atas 22 pengguna jalan raya dalam Ops Khas Motosikal sempena Ops Hari Raya Aidil Adha (HRAA) di Tanjung Lumpur, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang, Kamarul Iskandar Nordin berkata, sebanyak 66 kenderaan dan tiga buah motosikal disita dalam operasi yang dijalankan secara bersepadu selama empat jam itu.

“Operasi bermula jam 8 malam diadakan secara bersepadu bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dalam sekatan jalan raya yang disertai oleh 75 pegawai dan anggota itu pada malam Rabu.

“Sejumlah 271 kenderaan diperiksa dengan sejumlah 125 saman dan lain-lain notis dikeluarkan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, PDRM telah memeriksa 50 kenderaan dan mengeluarkan 26 saman, manakala pihak Agensi Anti  Dadah Kebangsaan (AADK) telah membuat saringan ke atas pengguna jalan raya.

Jabatan Imegresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula memeriksa 122 pengenalan diri dalam operasi berkenaan, ujarnya.

Iskandar berkata, orang awam boleh membuat aduan atau menyalurkan maklumat kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan. – MalaysiaGazette