Polis Marin menahan seorang lelaki tempatan dan merampas 327.24 liter arak dipercayai tidak bercukai kastam.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas 327.24 liter arak yang dipercayai tidak bercukai kastam semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, ACP Muhd Zailani Abdullah berkata, pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan operasi di kawasan pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang, Johor pada jam 1 tengahari.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan arak dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM131,728.10,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, tangkapan dan rampasan telah dibawa ke Markas PPM W2 Johor untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menurut Muhd Zailani, penyeludupan minuman keras sekiranya tidak dibanteras boleh mengakibatkan kerajaan mengalami kerugian dengan ketirisan nilai cukai yang besar.

Orang ramai yang maklumat berhubung penyeludupan barangan boleh menyalurkannya kepada PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221. – MalaysiaGazette