Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Proses pengambilan pekerja warga Bangladesh telah bermula dengan kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur.

Kementerian Sumber Manusia berkata, proses pengesahan melibatkan 15 syarikat telah diselesaikan oleh pihak Suruhanjaya Tinggi Bangladesh yang membabitkan lebih 2,000 pekerja.

Proses ini dijangka meningkat pada minggu-minggu akan datang, selepas isu-isu teknikal yang dihadapi bagi proses pengambilan pekerja warga Bangladesh ke negara ini telah dapat ditangani.

Menurutnya, bagi majikan yang telah membayar levi dan bercadang untuk menggajikan pekerja warga Bangladesh, mereka boleh memanjangkan permohonan ke Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur untuk memohon pengesahan penggajian dan dokumentasi seperti Kontrak Pekerjaan serta Pesanan Kerja bagi pekerja.

Bagaimanapun, kemasukan pekerja warga Bangladesh ini tertakluk kepada saringan keselamatan dan kesihatan termasuk pematuhan syarat-syarat Jabatan Imigresen Malaysia, tambah kementerian itu. – MalaysiaGazette