KUANTAN – Seramai 28 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang bersiap sedia di tujuh lokasi melibatkan enam menara penyelamat pantai dan satu stesen bagi memantau fenomena air pasang.
Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Sekretariat Bencana dan Operasi Negeri Pahang, Mejar Mohdzairosnizam Mohd Tarmizi berkata, semua anggota bertugas dari pukul 7 pagi hingga 7 malam sepanjang tempoh pengawasan.
Enam menara Penyelamat Pantai SurfLifeguard (APM) melibatkan Menara Batu Hitam dan Menara Teluk Cempedak di Kuantan, Menara Pantai Lagenda (Air Leleh) di Pekan.
“Manakala dua lagi melibatkan Menara Sepat A dan Menara Sepat B juga di Pekan serta Menara Taman Negara Pulau Tioman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, katanya, APM juga menempatkan anggota di lokasi terbaru pengawasan di Pantai Hiburan di Rompin.
“Penduduk berhampiran pesisir pantai disaran supaya peka dan berwaspada berdepan fenomena ini termasuk mereka yang terlibat aktiviti perkapalan,” katanya.
Zairosnizam menasihati orang ramai perlu berwaspada dan memantau cuaca semasa dengan merujuk agensi berkaitan untuk maklumat keselamatan kawasan pesisir pantai.
Terdahulu, Pusat Hidrografi Nasional (PHN ) mengingatkan penduduk di kawasan pesisir pantai di seluruh negara disaran berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula semalam sehingga Ahad.
Menerusi satu hantaran di Twitter, PHN memaklumkan, fenomena itu berlaku disebabkan pengaruh daya tarikan graviti bulan dan matahari. – MalaysiaGazette