Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan replika cek merupakan peruntukan khas kewangan sebanyak RM818,600 sebagai insentif khas kepada 2,662 guru dan 40 penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini di Temerloh.

KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan peruntukan khas kewangan berjumlah RM818,600 sebagai insentif khas kepada 2,662 guru dan 40 penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setiap guru KAFA akan menerima sumbangan RM300, manakala penyelia menerima RM500.

“Semoga dengan  peruntukan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kehidupan warga KAFA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut berbangga dengan pencapaian cemerlang pelajar yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dengan 7,576 pelajar memperoleh keputusan 8A.

Jumlah tersebut merupakan 25.95 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar yang mengambil UPKK iaitu seramai 30,154 orang.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Belanjawan 2022 yang  dibentangkan pada Disember tahun lalu telah memperuntukkan RM147 juta kepada Jabatan Agama Islam pahang (JAIP), Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Pahang dan Jabatan Mufti Pahang.

Jelasnya, ia merangkumi pelbagai perolehan aset dan perbelanjaan modal insan kepada sekolah-sekolah dan masjid seluruh negeri yang melibatkan perbelanjaan RM1.92 juta.

Selain itu, peruntukan turut disalurkan untuk pembinaan dewan serbaguna dan bangunan akademik, penyelenggaraan dan menaik taraf bangunan di bawah pentadbiran JAIP .

Ia termasuk Pejabat Agama Islam Daerah dan asrama sekolah-sekolah di bawah pengurusan JAIP yang berjumlah RM10 juta. – MalaysiaGazette