Shahril Hamdan
Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR – Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak disambung selepas 31 Julai ini merupakan tindakan kawan bukan kerja musuh.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ini kerana perkara itu sudah dipersetujui lebih awal oleh parti itu pada 14 April lalu.

“Ada laporan bahawa seorang pemimpin UMNO berpandangan UMNO merupakan musuh terbesar kita pada masa ini hanya kerana tidak menyambung MoU tersebut.

“Saya tidak pasti apa konteks komen tersebut tetapi antara alasannya kerana sebahagian daripada kepimpinan tidak mahu menyambung MoU bersama pembangkang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, tindakan pemimpin UMNO itu dilihat seperti tidak memahami dasar keputusan yang dicapai oleh semua Majlis Kerja (MKT) Tertinggi UMNO sebelum ini.

“Tidak timbul ini agenda sesiapa, ia keputusan bersama dalam mesyuarat. Tidak timbul juga soal UMNO ialah ‘musuh kita’,” katanya lagi.

Menerusi hantaran itu juga, Shahril turut membariskan beberapa perkara cara kepimpinan dan MKT UMNO dalam membuat keputusan di mana ia terhasil daripada musyawarah dan kemudian menghormati keputusan.

“Pertama, kedudukan MoU antara kerajaan dan Pakatan Harapan tidak akan diteruskan lagi selepas 31 Julai 2022.

“Pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa sebarang halangan. UMNO berpendirian akta ini perlu segera dibentang bagi memastikan pengundi kembali yakin dengan sistem demokrasi negara. Insya-Allah, akta ini akan dibentangkan, dibahas dan diluluskan pada sidang Parlimen bermula hari Isnin ini.

“Perhimpunan Agung Khas diadakan untuk mengabsahkan usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 berkenaan dengan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

“Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub sebulat suara dicadangkan oleh MKT sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15,” tulisnya.

Terdahulu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilihat menempelak kepimpinan tertinggi UMNO dengan menyatakan kegusarannya terhadap UMNO.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu menerusi satu forum berkata, masalah yang dihadapi Ismail Sabri adalah tentangan dalaman UMNO dan bukan pihak lain.

Jelasnya lagi, yang menentang MoU itu bukan pembangkang tetapi sebaliknya daripada dalam UMNO sendiri.

Dakwanya lagi, wujud pihak-pihak tertentu yang mahu MoU ditamatkan dan mahukan PRU-15 disegerakan kerana mempunyai kepentingan peribadi. – MalaysiaGazette