Foto: FB Gotabaya Rajapaksa

COLOMBO, – Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa yang tiba di Singapura petang semalam menghantar surat peletakan jawatan kepada Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena menerusi Suruhanjaya Tinggi Sri Lanka di republik itu.

Menurut seorang pegawai kanan Pejabat Speaker, surat tersebut dihantar secara e-mel dan Speaker Parlimen akan meneliti kesahihannya dengan Peguam Negara, lapor Daily News.

Bagaimanapun, pegawai itu memberitahu, Speaker dijadual melakukan pengumuman rasmi mengenai peletakan jawatan Rajapaksa pada hari ini.

Speaker Parlimen itu akan mengadakan mesyuarat khas dengan pemimpin parti pada hari ini bagi merancang tindakan seterusnya.

Pada 9 Julai lalu, Gotabaya mengumumkan rancangannya untuk mengosongkan jawatan yang dipegang selepas beribu-ribu orang mendesak beliau meletak jawatan. – Agensi