Najib (kiri) dan Rafizi.

KUALA LUMPUR – “Aset Petronas dirampas tahun 2022 iaitu lebih empat tahun selepas saya berhenti sebagai Perdana Menteri (PM) tetapi ianya salah saya?”

Itu persoalan Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menyalahkannya dalam kes aset Petronas dirampas.

Beliau berkata. Rafizi menyalah tafsir maksud niat dalam keputusan timbang tara pada 2 November 2017.

“Bukti yang Raja Formula Songsang (Rafizi) kemukakan ialah satu garis yang berbunyi:”Tuntutan menyampaikan notis awal niat untuk memulakan timbang tara, bertarikh 2 November 2017 menurut Surat Ikatan (selepas ini, Notis Niat untuk Memulakan Timbang Tara) di Kedutaan Malaysia di Madrid.

“Itu niat. Faham apa maksud niat? Maksudnya belum memulakan apa-apa tindakan.

“Tak lama selepas itu pun dah PRU-14 dan kerajaan bertukar. Sebab itu, petition hanya bermula pada tahun 2019 di bawah kerajaan PH (termasuk PPBM),” katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Najib juga mempersoalkan apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) apabila waris Sulu memulakan tindakan.

“Mereka tak buat apa-apa. Malah kabinet PH tak pernah bincang perkara ini,” ujarnya.

Menurut bekas PM itu, pendirian kerajaan sebelum itu tidak pernah iktiraf tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

“Sebab itu kerajaan PH juga tidak menghantar atau melantik peguam untuk pertahankannya di mahkamah timbang tara masa itu.

“Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara pada Rabu, kerajaan Malaysia tidak mengambil bahagian dalam prosiding timbang tara yang dikatakan membawa kepada anugerah pampasan itu,” katanya lagi.

Bukan setakat kerajaan PH tidak membincangkan perkara yang sama dalam Kabinet biar pun ia tuntutan RM66 bilion tetapi kerajaan PH juga tidak menghantar peguam untuk mengambil bahagian semasa timbang tara.

“Paling jahanam ialah walaupun kerajaan PH mengambil pendirian bahawa kita tidak iktiraf tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu tetapi peguam negara kerajaan PH pula menulis surat untuk mengaku kesal, mengktirafkan waris Sulu dan menawarkan untuk membayar tunggakan RM48, 000.

“Di sana tak mahu iktiraf, di sana pula tulis surat untuk iktiraf?
Surat ini pula digunakan sebagai bukti dalam mahkamah timbang tara bahawa Malaysia telah mengaku salah dan kita dikenakan tuntutan membayar RM66 bilion pula.

“Lepas itu, satu persatu menteri kerajaan PH pula cuba lepas tangan dan kata mereka tak tahu Tommy menghantar surat tersebut.

“Tak ambil berat untuk bincang dalam kabinet kerajaan PH, tak hantar peguam untuk mengambil bahagian dan menulis surat untuk mengaku kesal dan salah pula?
Mahu kita tak kalah?” soalnya.

Akhirnya, kata Najib, Rafizi pula menuduhnya perkauman sebab salahkan Tommy.

“Eh.. yang tuduh Tommy perkauman bukan saya tetapi bos kamu Anwarlah (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Bodohnya Rafizi,” tulisnya.

Sebelum itu, beliau menyindir bekas Ahli Parlimen Pandan itu dengan mengatakan mujur kebodohan melampau bukan jenayah dan jika ya, beliau sudah lama membuat laporan polis terhadap Rafizi. – MalaysiaGazette