Temubual SkopMG bersama Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad di Studio Malaysia Gazette (MG), Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bekerjasama dengan mana-mana parti untuk menang pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, biar pun perlu melalui kesukaran dan cabaran tetapi PH tidak boleh mengulangi kesilapan lama iaitu menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti.

Pendirian itu dilihat senada dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa PH tidak perlukan khemah besar untuk menang pada PRU-15.

“Saya faham, ada pihak mahu melihat kejayaan PH dan kerana itu pelbagai pandangan diutarakan. Ada yang mahu kita bergandingan bersama parti Pejuang, ada juga yang mahukan kita bersama parti Bersatu tetapi untuk saya, tidak perlu itu semua.

“Saya tidak mahu duduk sebelah Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) untuk berkempen nanti. Sudah cukuplah dengan apa yang berlaku sebelum ini.

“Langkah Sheraton merupakan luka yang masih berdarah, walaupun sudah move on tetapi ia pengajaran besar buat kita,” katanya menerusi program SKOP MG malam tadi.

Dengan tajuk Pemilihan PKR, Antara Kontroversi Dan Realiti, Nik Nazmi bergandingan dengan seorang lagi panel iaitu Timbalan Ketua AMK Cabang Petaling Jaya, Nabil Halimi.

Jelasnya, PRU-15 tidak menampakkan mana-mana parti mendominasi dan membuka peluang sama besar bagi meraih perhatian rakyat.

“Semua parti ada masalah dan cabaran sendiri. UMNO pun ada masalah dalaman bukan PKR sahaja.

“Kerana itu saya katakan, peluang untuk menang itu ada kepada semua. Kita pernah buat salah, jadi jangan ulangi dan perlu terus buat yang terbaik,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diletakkan sebagai calon perdana menteri, Nik Nazmi berkata, ia masih kekal relevan.

“Anwar masih mempunyai idealogi dan mampu membawa Malaysia ke satu tahap membanggakan. Beliau masih relevan kerana itu tidak ada yang mencabar jawatan presiden semasa Pemilihan PKR 2022 baru-baru ini.

“Ditambah dengan Timbalan Presiden PKR yang baharu, Rafizi Ramli, sudah tentu akan memacu Malaysia kepada tahap yang baik,” katanya.

Ketrampilan Anwar sebagai perdana menteri harus disokong semua pihak khususnya dalam PH, katanya.

“Saya yakin kekuatan kita hari ini adalah dengan gandingan senior dan junior dalam satu pasukan. Walaupun bakal berdepan cabaran besar PRU-15 nanti tetapi dengan aura Anwar, tampuk kerajaan boleh kembali kepada PH,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast