Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang disyaki memukul suaminya sehingga mati di Flat Nipah, Taman Daya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, lelaki berusia 52 tahun itu yang merupakan rakan kepada isteri mangsa ditahan di kawasan Majidee kira-kira pukul 10 malam tadi.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

“Suspek juga mempunyai lima rekod lampau, iaitu dua kes berkaitan dadah, dua kes jenayah dan satu kes jenayah komersial.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati suspek dan isteri mangsa didapati berada dalam pengaruh dadah ketika kejadian itu berlaku,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, seorang lelaki ditemukan maut dipercayai dipukul isterinya di Flat Nipah, Taman Daya.

Ibu kepada dua orang anak itu dipercayai memukul bahagian kepala mangsa menggunakan objek tumpul.

Mangsa ditemukan maut terbaring di dalam rumah dengan anak sulung suspek merupakan saksi kejadian tersebut.

Raub memberitahu, lelaki berkenaan dan isteri mangsa, masing-masing ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette