Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran keras agar masyarakat tidak menyertai mana-mana perhimpunan yang bercanggah atau melanggari undang-undang negara.

Peringatan tegas dikeluarkan olej Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani selepas PDRM telah mengesan sebaran video di media sosial yang mengajak orang ramai untuk menyertai aktiviti flashmob di seluruh negara bagi membantah kenaikan harga barang.

“Masyarakat seluruh negara dinasihatkan untuk tidak menyertai sebarang aktiviti flashmob atau perhimpunan yang tidak mematuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Tindakan tegas akan diambil oleh PDRM terhadap mana-mana penganjur flashmob/ perhimpunan atau peserta yang gagal mematuhi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkara sama, Acryl menegaskan, PDRM akan terus memantau dan memastikan situasi keselamatan negara tidak terjejas.

“Pada masa sama, masyarakat diminta memberi kerjasama dengan tidak terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette