KUALA LUMPUR – Pelanggan lebuh raya yang menggunakan laluan Tapah-Bidor di Lebuhraya Utara-Selatan dinasihatkan merancang perjalanan susulan penutupan lorong kiri dan kecemasan di antara KM335.70 hingga KM336.65 (Arah Selatan)
bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan bermula 18 Julai (Isnin) hingga 22 Julai (Jumaat) depan.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, kerja-kerja itu untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.

Sepanjang tempoh tersebut, penggunaan lorong kecemasan secara berkala akan diaktifkan sekiranya perlu bergantung kepada keadaan trafik di laluan terbabit.

Justeru, pelanggan yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini.

Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

Pelanggan lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan. – MalaysiaGazette