SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara pemimpin politik terawal yang tidak akan bersetuju dengan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana MoU dipersetujui itu memberi kebebasan kepada badan kehakiman untuk melaksanakan perbicaraan dan keadilan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak khususnya kerajaan.
“Soal MoU itu spesifik, RM40 bilion untuk Covid-19, RM10 bilion untuk orang miskin, Undi 18, Jawatankuasa Khas dan Reformasi Parlimen, Anti Lompat Parti, Kebebasan Badan Kehakiman.
“Ini yang kita tuntut, sebab itu Najib tentu tidak akan setuju dengan MoU kerana ia antara lain memberi kebebasan kepada badan kehakiman yang dia langgar.
“MoU yang kita tandatangani itu bukan dengan kerajaan yang kita sokong, kita kekal sebagai pembangkang dan sanggahan kita berterusan termasuk soal inflasi,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.
Beliau mengulas hantaran terbaru Najib di Facebook rasminya hari ini yang mempersoalkan Anwar dan Pakatan Harapan (PH) yang masih tidak menarik balik sokongan terhadap MoU.
Ia susulan kritikan Anwar terhadap Kerajaan Keluarga Malaysia kerana gagal membendung kenaikan harga minyak sawit di negara ini.
Dalam pada itu, Anwar mempersoalkan tindakan syarikat pengeluar minyak sawit tempatan yang masih enggan menjual minyak masak pada harga rendah sedangkan mereka meraih keuntungan berbilion ringgit sebelum ini.
“Ya, dia (syarikat minyak sawit) untung, tapi bagilah satu kuota supaya penjualan dalam negeri mengurangkan beban orang miskin.
“Ini pemimpin (kerajaan) pula jadi jurucakap orang-orang kaya. Saya tidak ambil sesuatu yang radikal umpamanya menghalang eksport, tidak.
“Saya kata bagi syarikat yang kaya, yang untungnya besar berbilion, berilah sedikit kuota,” katanya. – MalaysiaGazette
Kah kah kah kau buat lawak bodoh kaa..masa ko kena sabit sebab meliwat ko bukan main kutuk lg badan kehakiman…hakim tak bebas laaa…ko ingat rakyat dah lupa kaaa??