Lee Shao Xuan(kiri) dan Tan Ming Qi (dua, kiti) muncul juara dengan hasil ciptaan ‘sports steward’ dalam Cabaran Inovasi TikTok UCSI ‘Student Life Hacks menerima hadiah berupa wang tunai dan pengecualian yuran.

KUALA LUMPUR – Dua pelajar Sekolah Menengah (persendirian) Perempuan Cina Pulau Pinang membawa pulang gelaran juara melalui hasil ciptaan peranti bagi memantau senaman, ‘sports steward’ dalam Cabaran Inovasi TikTok UCSI ‘Student Life Hacks, baru-baru ini.

Lee Shao Xuan dan Tan Ming Qi kedua-duanya berusia 18 tahun berjaya menambat hati juri dengan hasil inovasi mereka yang menghasilkan alat untuk menganalisa serta membetulkan postur tubuh ketika bersenam.

”Kami suka sains dan ilham mencipta alat ini datang daripada sahabat kami, Cheng Xin yang cedera ketika latihan gimnastik akibat masalah postur tubuh yang kurang tepat. Kami lihat di pasaran kurangnya aksesori sukan yang membantu dalam membetulkan postur badan ketika bersenam.

”Kami uji alat ini dengan beberapa rakan dan mereka dapati ia berguna apabila alat ini memberi peringatan tentang postur yang salah dan kami percaya alat ini dapat membantu mengelakkan kecederaan kecil ketika bersenam,” kata Shao Xuan pada majlis penyampaian hadiah tersebut di Universiti UCSI, baru-baru ini.

Mereka juga merancang untuk menambah baik peranti tersebut dengan memasukkan lebih banyak senaman serta beberapa spesifikasi lain yang perlu.

Dua pelajar ini menerima hadiah wang tunai RM3,000 serta pengecualian penuh yuran pengajian di Universiti UCSI.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan Profesor Datuk Dr Noraini Idris berkata, cabaran yang dianjurkan UCSI melalui Fakulti Sains Farmaseutikal dengan hasil kerjasama Kementerian Pendidikan itu membuka ruang untuk melahirkan minat pelajar terhadap pendidikan berkaitan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

”STEM adalah nadi kepada pembangunan inovasi dan generasi masa depan perlu kuasai untuk cemerlang dalam sektor industri yang kritikal.

”Dengan memberi tumpuan kepada inovasi UCSI telah menanam minat terhadap STEM dan saya harap dapat lihat lebih banyak usaha seperti ini,” katanya yang juga Penasihat merangkap Profesor Kehormat Pusat STEM Universiti Malaya (UM).

Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, objektif utama pihaknya adalah untuk menyediakan pendidikan yang holistik dengan teknologi digital canggih sebagai kaedah untuk mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi.

Pertandingan yang membuka ruang kepada pelajar mengetengahkan idea dan kreativiti mereka untuk menyelesaikan masalah sebenar di sekeliling dengan sains itu menerima penyertaan daripada 55 buah sekolah dari seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast