Ismail Sabri Yaakob melambai tangan ke arah golongan belia yang menghadiri Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan di Pekan Tuaran, Sabah.

KUALA LUMPUR – Jumlah pengangguran negara dijangka terus menurun sekiranya semua pihak mengambil tahu dan mengambil peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk belia-belia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, kadar pengangguran dalam kalangan golongan belia yang berumur 15 hingga 40 tahun di seluruh negara pula menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama tahun ini berbanding 5.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Terbaharu, menurut beliau, kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

Ia merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda.

Sejumlah 8,000 usahawan muda telah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan.

“Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya jika ia diurus dan diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini. Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

”Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair @ MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertai.

”Sehubungan itu, saya menyeru graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini,” katanya semasa berucap merasmikan Hari Belia Negara 2022 Peringkat Kebangsaan yang bertemakan ‘Ini Masa Kita’di Padang Pekan Tuaran di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun Hari Belia Negara peringkat kebangsaan diadakan di Tuaran, kerajaan tetap membawakan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya melibatkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk
belia Keluarga Malaysia tempatan.

Justeru, beliau menyeru belia Tuaran menggunakan peluang ini untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang melibatkan golongan belia agar dapat memainkan peranan dalam pembangunan negara.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi umpamanya melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang
melibatkan 500 mahasiswa daripada setiap 25 buah universiti awam dan swasta mulai bulan ini.

Manakala Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) pula melahirkan usahawan francais atau pra-francais di bawah KUSKOP.

Setakat ini ia telah menerima sebanyak 26 permohonan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lepas, ujar Perdana Menteri. – MalaysiaGazette