Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan Prof Dr Oliver Steffens menandatangani perjanajian kerjasama baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memperkukuh jaringan strategik dan kolaborasi antarabangsa di Jerman melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Ostbayerische Technische Hochschule (OTH) Regensburg.

Dalam majlis MoU itu, UniMAP diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala OTH Regensburg telah diwakili oleh Naib Presiden Penyelidikan dan  Antarabangsanya, Prof Dr Oliver Steffens.

Prof Ts. Dr. Zaliman berkata, kerjasama ini dilihat sebagai peluang baik untuk diceburi UniMAP bagi memperkaya pengalaman dan pendedahan teknikal yang lebih meluas kepada pelajar dan staf seiring dengan hasrat pemerkasaan TVET negara.

Ujarnya, jalinan kerjasama ini turut melibatkan pertukaran kepakaran, pengetahuan dan teknologi, pembangunan kakitangan (profesional dan akademik), promosi pendidikan, latihan dan pembangunan untuk pelajar dan kakitangan serta peluang melaksanakan post-doctoral studies yang akan menempatkan pensyarah UniMAP di OTH Regensburg bagi menjalankan penyelidikan.

”Kolaborasi UniMAP – OTH Regensburg ini akan memberi tumpuan terhadap bidang penderia semikonduktor dan mikroelektronik yang diketuai oleh Prof. Madya. Ts. Dr. Muhammad Mahyiddin Ramli yang mana UniMAP telah diberi pengiktirafan sebagai Hub Pembuatan (Semikonduktor) ketika Minggu TVET Negara baru-baru ini,” kata
beliau dalam satu kenyataannya, di sini.

OTH Regensburg yang diasaskan pada 1971 merupakan salah sebuah universiti Sains Gunaan terbesar di bumi Bavaria dan antara universiti awam terkemuka di Jerman.

Universiti ini juga terkenal dengan kecemerlangannya dalam bidang teknikal dan
penyelidikan merangkumi Sains Gunaan, Mikroelektronik, Tenaga Boleh Diperbaharui, Teknologi Penderia, Mekatronik, Biokejuruteraan, Sains Komputer dan Kejuruteraan Automotif.

Terdahulu, delegasi UniMAP turut menyertai lawatan kerja Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diketuai Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dengan lawatan pertama ke Fraunhofer Institute for Mechatronic Systems Design (Fraunhofer IEM) Paderborn, Jerman yang memiliki kepakaran dalam sistem automasi termaju, kecerdasan buatan (AI), mekatronik dan mekanikal. – MalaysiaGazette