Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) menyelesaikan kemelut kekurangan bekalan ubat di pasaran khususnya membabitkan ubat batuk, selsema dan demam.

Timbalan Presiden Parti Gerakan, Oh Tong Keong berkata, pihaknya dimaklumkan banyak klinik swasta, farmasi dan kedai menghadapi kekurangan bekalan ubat dan ada dalam kalangan mereka berdepan situasi kehabisan stok.

“Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan mengakui pihak swasta menghadapi masalah kekurangan bekalan ubat dan beliau telah meminta fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta supaya berkongsi bekalan ubat untuk memasti bekalan ubat termasuk ubat batuk, selsema serta demam mencukupi di pasaran.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan adakah bekalan ubat di hospital serta klinik kerajaan cukup menampung keperluan pasaran? Bagi saya KKM perlu tampil perjelaskan keadaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Tong Keong, KKM harus prihatin dan mencari cara penyelesaian yang sewajarnya dalam menangani isu kekurangan bekalan ubat yang berlaku kini.

“KKM kena rangka cara penyelesaian isu ini secepat kerana mengharapkan bekalan ubat dari fasitili klinik kerajaan tidak akan menyelesaikan masalah secara menyeluruh,” tegasnya. – MalaysiaGazette