Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan tujuh penunggang motosikal termasuk empat daripadanya yang terkorban dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 4.30 pagi dan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku membabitkan beberapa buah motosikal serta dua buah kereta.

Soffian.

Jelas beliau, beberapa penunggang motosikal dikatakan hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain sebelum merempuh dua buah kereta jenis Perodua Myvi serta Proton Waja dari arah belakang.

Kesemua penunggang yang terlibat dalam kemalangan itu disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Akibat kejadian itu, tiga mangsa iaitu Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19; dan Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun meninggal di Hospital Pulau Pinang (HPP) ketika menerima rawatan.

Mangsa yang cedera, Mohd Haziq Harris, 34; kini masih dirawat di zon merah manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19, serta kembar kepada Muhammad Syazwan, Muhammad Shazwan Hafiz masing-masing menerima rawatan di zon kuning.

Tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi di hospital.

“Kesemua mangsa yang terbabit nahas berasal dari Pulau Pinang dan Kedah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mengulas lanjut Soffian berkata, sebelum kejadian, polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan pasukan trafik dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut sudah membuat rondaan awal sebagai tindakan pencegahan aktiviti lumba haram itu.

Katanya, perancangan bagi menangkap individu yang terbabit dalam lumba haram itu juga sudah diatur sebelum berlaku kejadian.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram ini kerana bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Ibu bapa juga diseru supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak supaya tidak terjebak dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang serta mendatangkan kemudaratan,” kata Soffian. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.