PDRM menasihati masyarakat agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan palsu yang mempromosikan diskaun saman JPJ dan PDRM di WhatsApp.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati masyarakat berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan satu iklan yang menawarkan diskaun untuk bayaran saman yang tular di media sosial.

Setiausaha PDRM, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, iklan itu sebenarnya adalah palsu sekaligus polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat tawaran berkenaan.

Katanya, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengesan satu satu iklan mempromosi tawaran 50 peratus diskaun saman JPJ dan PDRM melalui aplikasi WhatsApp.

“Iklan tersebut memaparkan nilai kadar saman dan jumlah bayaran diskaun serta tawaran sehingga 20 Julai 2022.

“Iklan itu juga mendakwa kononnya orang ramai yang berminat boleh berhubung dengan individu melalui nombor telefon yang disertakan sekiranya ingin berurusan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menerusi siasatan lanjut, PDRM mengesahkan iklan promosi tawaran saman tersebut adalah palsu.

“PDRM juga mengambil langkah pantas dan sedang menjalankan siasatan ke atas individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan berita dan iklan palsu berkenaan.

“Pada masa yang sama, orang ramai yang menerima iklan promosi tersebut diminta untuk tidak terpengaruh atau berhubung dengan penama yang dinyatakan.

“Masyarakat juga dinasihatkan agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sebarang berita terutamanya mengenai tawaran pengurangan saman melalui saluran media rasmi PDRM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” tegas Noorsiah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast