Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 17 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Janji Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga minyak petrol sekiranya dia menjadi perdana menteri disifatkan usaha mengitar semula janji populis yang berbau hancing.

Menurut Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak, harga petrol di negara ini adalah antara 10 termurah di dunia.

“Saya ulang… Lagi janji populis berbau hancing dikitar semula. Harga petrol kami sudah antara 10 paling murah dalam dunia.

“Bila dia menang, mungkin petrol kita lagi murah banding Venezuela kot,” sindir Najib.

Semalam ketika membuat ucapan pengulungan pada Kongres PKR ke-16, Anwar mengulangi janji untuk menurunkan harga minyak petrol sehari selepas dia memegang tampuk kuasa.

Presiden PKR itu sedar janji Pakatan Harapan untuk menurunkan harga minyak dipermainkan rakyat kerana parti itu tidak menepatinya semasa mentadbir negara selama 22 bulan.

Bagaimanapun, tegas Anwar, janji tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana beliau bukan perdana menteri.

“Sekarang kalau kita berjaya kali ini, janji kita pada rakyat, jika kita berjaya, kita akan tunaikan sepenuhnya kepada rakyat. Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok.

“Saya (sebelum ini) bukan PM, macam mana boleh buat. Harga minyak tak boleh diturunkan kerana kerajaan fikir cara menyelamatkan orang di atas dan kita fikir cara menyelamatkan orang di bawah,” katanya.

Pada 2008, Anwar berjanji kepada orang ramai gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara.

Malah Rafizi Ramli yang kini menjadi Timbalan Presiden PKR dalam kempen-kempen pilihan raya dahulu telah mengemukakan formula bagaimana negara boleh menurunkan harga minyak sehingga menjadi RM1.50 seliter. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. rakyat TERMUNTAH HIJAU untuk dimandi dan minum kencing Pakatan Hancing dan P unah H arapan apalagi nombor2 EKOR ANWARFIKUN NI

Comments are closed.