Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berdiam diri dengan aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi di sempadan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah menjalankan pemeriksaan dengan pengilang-pengilang minyak masak paket yang dikelolakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Bukan kaji lagi, pemeriksaan telah dan sedang dilaksanakan, jadi kita akan dapatkan nama dan kita akan periksa dengan pembekal berapa banyak dia dapat kerana kadang-kadang tidak sampai kepada pengguna.

“Daripada kilang bawa ke tempat lain, jadi kita perlu dapatkan perincian untuk pastikan berlaku penyelewengan,” katanya menjawab pertanyaan lisan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, Anwar melemparkan persoalan mengenai penyeludupan minyak masak paket di sempadan negara terutamanya di Thailand.

Menjawab mengenai pertanyaan itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah menggerakkan penguatkuasa di pihak KPDNHEP bersama-sama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Dulu penyeludupan minyak masak ini jatuh nombor lima kerana yang utama adalah penyeludupan dadah, senjata, pemerdagangan manusia. Ini keutamaan kepada penguatkuasa di sempadan, tapi penyelewengan minyak ini telah berlaku lebih teruk.

“Minyak masak bersubsidi dijual di Thailand. Kerajaan telah keluarkan arahan supaya bukan sahaja pihak penguatkuasaan KPDNHEP yang ditugaskan tapi pihak polis, tentera juga akan terlibat,” katanya bekalan minyak itu sukar dikawal kerana  pengusaha restoran besar turut menggunakannya, selain peniaga-peniaga kecil.

Walaupun penguatkuasaannya tidak semudah ABC,  tapi kerajaan tidak akan mendiamkan diri dan akan melakukan tindakan terbaik.

Dalam sesi soalan lisan kedua hari ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meningkatkan subsidi lebih RM77 bilion berbanding peruntukan asal sebanyak RM31 bilion bagi tahun 2020.

Daripada jumlah ini, RM1.1 bilion diperuntukkan kepada subsidi ayam dan telur.

Kerajaan juga dijangka membelanjakan subsidi minyak masak subsidi 1 kilogram dengan peruntukan sehingga RM4 bilion pada tahun ini.

Jumlah ini  naik secara mendadak berbanding keperluan pada tahun 2020 iaitu RM500juta dan 2021 sebanyak RM2.1 bilion, katanya. – MalaysiaGazette