Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan sekali-kali berkompromi dengan sebarang perbuatan menghina kesucian agama Islam, al-Quran, Rasulullah dan sebagainya.

Menterinya, Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah diarah mengambil langkah tegas membuka kertas siasatan untuk tujuan di bawa ke Mahkamah Syariah.

Kata beliau, membanteras perbuatan itu adalah tanggungjawab bersama oleh seluruh masyarakat demi amanah menjaga agama Islam.

“Umpamanya seperti sudah menjadi kes mahkamah baru-baru ini, berlaku persembahan komedi di sebuah premis di Kuala Lumpur, yang mana berlaku perbuatan yang amat tidak senonoh dan menghina kesucian agama Islam.

“Seperti dilaporkan media, kandungan lawak komedi yang dipersembahkan juga menyentuh perkara sensitif yang mengganggu-gugat keharmonian kemajmukan agama dan bangsa.

“Sudah tentu perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku khususnya melibatkan penghinaan kepada agama Islam. Kita tidak boleh sekali-kali membiarkan perkara ini dijadikan agenda normalisasi oleh sesetegah pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Pencegahan Jenayah Syariah 2022 di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Menurut Idris, isu itu memperlihatkan umat Islam khususnya berdiri teguh di belakang agensi kerajaan dan yang menunjukkan kehendak masyarakat mahu tindakan tegas diambil kepada pihak berkaitan.

Katanya, keseriusan agensi penguatkuasa melaksanakan fungsinya akan menjadi lebih efektif apabila sepakat memperkukuhkan jaringan kerjasama sesama masyarakat.

“Maksud saya dalam konteks kita, JAWI dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) perlu terus bekerjasama erat bersama agensi seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi.

“Makanya, ekosistem penguatkuasaan agama haruslah diperhebatkan dengan kekuatan infrastruktur, perundangan, kemahiran dan sistem jaringan dengan agensi penguat kuasa yang lain.

“Ini kerana tugas pencegahan mencakupi ruang lingkup yang luas termasuk menghapus niat dan peluang jenayah, mendidik masyarakat mengenai ancaman jenayah dalam komuniti serta menjadi tempat rujukan kepada masyarakat untuk menyalurkan aduan dan mendapatkan nasihat,” kata beliau.

Namun, kata Idris, pastinya dalam menguatkuasakan undang-undang, penguatkuasa agama turut berdepan dengan pelbagai cabaran yang ada kalanya mengancam nyawa.

Tetapi, beliau yakin dengan semangat juang tinggi Bahagian Penguatkuasaan di semua JAIN yang menyaksikan daya juang mereka tidak pernah luntur dan kendur demi kemuliaan serta cintakan agama dalam melaksanakan tugas sebaik mungkin. – MalaysiaGazette