Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MUHD NA'IM, 18 JULAI 2022.

SEPANG – Seramai 298 jemaah haji Malaysia kumpulan pertama selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Kumpulan tersebut berlepas dari Jeddah jam 7.10 malam (waktu Arab Saudi) semalam dengan menaiki pesawat Saudia Airlines, penerbangan SV) 5612, yang mendarat pada jam 9.12 pagi.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebanyak 49 penerbangan disediakan bagi membawa pulang 14,305 jemaah haji menerusi Malaysia Airlines dan Saudia Airlines bermula 17 Julai hingga 13 Ogos ini.

“Penerbangan terakhir menerusi MH 8351 dijadualkan berlepas dari Madinah pada 12 Ogos ini jam 11.10 malam (waktu Arab Saudi).

“Kumpulan terakhir ini dijangka tiba di KLIA pada jam 1.30 petang pada 13 Ogos ini dengan membawa 284 jemaah haji,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Kumpulan pertama jemaah haji tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto MUHD NA’IM, 18 JULAI 2022.

Terdahulu Ahmad Marzuk diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar serta Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin menyambut ketibaan kumpulan pertama jemaah haji di KLIA.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata, operasi haji bagi tahun 1443H/2022M berjalan lancar.

“Alhamdulillah operasi haji bagi tahun 1443H/ 2022M berjalan lancar dan semua jemaah haji kita dapat melaksanakan ibadah haji dengan selamat, selesa dan teratur.

“Walaupun cuaca agak panas sehingga mencecah hampir 50 darjah selsius, namun jemaah haji tetap melaksanakan ibadah dengan tertib dan berdisiplin,” katanya.

Menurutnya, setakat ini hanya seorang jemaah sahaja yang meninggal dunia dan 32 orang lagi sedang dirawat di hospital kerana pelbagai masalah termasuk mengalami strok haba.

“Semua yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan stabil Alhamdulillah dan terkawal.

“Saya menasihatkan jemaah haji yang masih lagi berada di sana supaya jaga kesihatan, banyak minum air dan jangan terdedah kepada panas selain kawal jangkitan Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast