KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) mahu membubarkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) kerana mahu mengelakkan berlaku percanggahan dengan Akta Polis 1967.
Menurut beliau, aspek perundangan sepatutnya perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum Aksem diwujudkan lima tahun yang lalu.
“Baru berusia lima tahun sudah mahu bubar, alasan yang digunakan pelik apabila kata tidak mahu ada percanggahan dengan Akta Polis. Takkanlah masa nak wujud sebelum ini tidak fikir ada percanggahan. kenapa KDN waktu itu tidak menetliti perundangan ini supaya tidak berlaku percanggahan selepas ia diwujudkan.
“Adakah Peguam Negara yang sediakan draf akta ini tidak melihat perihal ini. Ini menunjukkan kelemahan kKDN dalam mewujudkan Aksem,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Pembubaran) 2021 yang bertujuan membubarkan Aksem di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau turut mendakwa KDN gagal memastikan Aksem menjalankan peranan dengan baik apabila ingin mengalihkan urusan kawalan sempadan di bawah polis.
Sementara itu, Mahfuz turut mempersoalkan keupayaan polis untuk menangani urusan kawalan sempadan dengan baik.
“Adakah selama ini Aksem tidak efisien? Sekali lagi ini menunjukkan kelemahan dan kegagalan KDN menguruskan Aksem yang tidak dapat memastikan peranannya.
“Saya amat meragui jaminan jika urusan ini di letak di bawah polis akan efisien, sedangkan polis sendiri terlibat dalam Aksem, jadi apa rangka kerja polis untuk menangani penyeludupan, pemerdagangan manusia dan sebagainya supaya kita pastikan kedaulatan negara terjamin,” tambah beliau.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan menjelaskan implikasi pembubaran agensi berkenaan terhadap kewangan kerajaan.
“Saya mahu tanya, apa implikasi kewangannya, sebab perlu tukar baju, papan tanda, yang kembali ke Kastam berapa kos? Polis yang masuk balik ke polis tidak boleh pakai uniform Aksem pula. Ini antara implikasi kewangan yang terpaksa dihadapi,” katanya lagi.
Sebagai rekod, RUU berkenaan dibentang bagi memansuhkan Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.
Akta Agensi Kawalan Sempadan Malaysia 2017 dikuatkuasakan untuk memperkemas tindakan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.
Penggubalan akta tersebut memberi kuasa bagi kepada Aksem untuk mengawal kegiatan penyeludupan atau aktiviti-aktiviti lain yang menyalahi undang-undang di sempadan darat negara.- MalaysiaGazette