Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid . Foto MOHD ADZLAN, 18 JULAI 2022.

PETALING JAYA – Polis dalam proses mengenal pasti identiti seorang mangsa kes bunuh yang disyaki terjatuh dari tingkat 17 sebuah kondominium di Kelana Jaya, dalam kejadian yang berlaku pada 12 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setakat ini masih belum ada mana-mana individu tampil membantu polis dalam mengenal pasti identiti mangsa yang dipercayai warga asing.

“Siasatan berkaitan kejadian itu masih diteruskan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dalam keadaan bogel ditemui mati

Tambah beliau, berdasarkan hasil siasatan mendapati, kedua-dua suspek itu mengenali mangsa menerusi satu aplikasi gay dalam media sosial.

“Mangsa dipercayai sudah beberapa kali datang bertemu kedua-dua suspek di lokasi kejadian yang juga merupakan rumah yang didiami suspek.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia sehari sebelum mayatnya telah dijumpai oleh pengawal keselamatan kondominium itu dalam keadaan tanpa pakaian,” jelasnya.

Terdahulu, polis Petaling Jaya berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 40-an yang dipercayai terlibat dalam kes jenayah bunuh itu. -MalaysiaGazette