KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa digesa menyisat dan bertindak tegas terhadap ‘dalang-dalang’ yang cuba menyeleweng akidah umat Islam di Malaysia.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya melihat gejala Islamofobia yang membawa sentimen membenci dan menghina agama Islam sudah berkembang di negara ini.
Akibatnya kata beliau, terdapat kumpulan yang bersikap melampau terhadap agama atas nama kebebasan bersuara.
“Sekali lagi muncul watak seorang pemuda mengeluarkan dengan sengaja kata-kata biadab terhadap Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W dan Islam serta dengan terang-terangan ditular dalam media sosial.
“Apakah motif individu ini atau adakah dia bertindak berseorangan atau ada dalang yang sengaja mahu mencetuskan ketegangan dalam masyarakat?
“Kami prihatin dengan adanya trend penghinaan terhadap agama yang semakin berleluasa…ini perlu disiasat dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya menerusi kenyataan.
Mohd Azmi menegaskan, gejala menghina agama yang dibawa daripada budaya sekular dan libaral barat tidak boleh dibiarkan terus merebak kerana nilai barat yang mengetepikan kesucian dan kekudusan agama adalah tertolak dan perlu dikekang daripada terus berleluasa di dalam negara.
Katanya, jika sebelum ini ada segelintir individu daripada pihak bukan Islam melakukan penghinaan terhadap agama Islam secara terbuka, kini tercetus golongan tertentu dalam masyarakat Islam sendiri yang melakukan demikian.
“Adakah ada usaha tersirat yang sedang berkembang di dalam negara ini untuk mencetuskan konflik dalam masyarakat berasaskan ras (sekelompok manusia berdasarkan kualiti fizikal atau sosial yang dikongsi ke dalam kategori yang umumnya dilihat berbeza oleh masyarakat) dan agama?” soalnya.
Semalam, tular di laman sosial satu rakaman berdurasi 36 saat menunjukkan seorang lelaki dipercayai menghina Islam.
Menerusi rakaman video itu, dia seolah mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumpa dengannya selain mengeluarkan kata-kata kesat.
Selepas tular video itu, lelaki berusia 39 tahun itu dibelasah beberapa individu yang dipercayai berang dengan tindakannya menyebabkannya mengalami kecederaan di muka.
Susulan kejadian, lelaki itu dilihat mengeluarkan video permohonan maaf di laman sosialnya.
Lelaki terbabit telahpun ditahan dan polis memohon reman di Mahkamah Majistret Sepang pagi ini untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998. – MalaysiaGazette