Peratusan kanak-kanak terbantut dalam negara kian meningkat. - Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa isu kanak-kanak bantut akibat kekurangan pemakanan yang kronik kini membimbangkan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata,  keadaan ini boleh menjadi lebih teruk kerana keluarga berpendapatan rendah yang terjejas akibat krisis Covid-19 tidak mempunyai wang mencukupi bagi membeli makanan berkhasiat kepada anak mereka.

Jelas beliau, menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2016, kadar terbantut di Malaysia adalah kira-kira 21 peratus malah, bilangan kanak-kanak terbantut di bawah umur lima tahun meningkat dari 17.7 peratus pada 2015 kepada 21.8 peratus pada 2019.

Mohideen Abdul Kader

Kata Mohideen, kemiskinan dan bantut adalah dua faktor yang boleh menjejaskan perkembangan minda kanak-kanak termasuk fungsi kognitif.

“Bantut, merupakan kegagalan tumbesaran yang biasa berlaku pada kanak-kanak kecil disebabkan oleh pemakanan dan jangkitan yang lemah dan bukannya faktor genetik.

“Kegagalan pertumbuhan ini berkait rapat dengan kemiskinan yang menyekat akses kepada kuantiti dan kualiti makanan yang mencukupi, air bersih dan sanitasi serta penjagaan kesihatan utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohideen, Malaysia sudah meratifikasi konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) menjadikan keselamatan makanan dan kesihatan kanak-kanak adalah tanggungjawab negara.

Kata beliau, kerajaan perlu membangunkan pendekatan holistik terhadap pemakanan dan tidak hanya melihat dari sektor kesihatan sahaja.

“Program pemberian makanan sekolah boleh membantu kanak-kanak yang kekurangan zat bagi pulih daripada terbantut, seperti program pemakanan sekolah kebangsaan India yang membantu kanak-kanak pulih daripada penurunan pertumbuhan.

“Sehubungan itu, CAP menggesa pihak berkenaan menjalankan penyelidikan bagi menjadikan setiap kanak-kanak dapat menerima perhatian selain menganjurkan perubahan dasar yang mesra kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada golongan itu.

“Kempen bagi mengubah minda dan persepsi mengenai bantut perlu dijalankan selain memperkasa golongan muda supaya menjadi agen perubahan iaitu melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast