Anggota bomba mengusung mayat nelayan yang hilang selepas kejadian bot terbalik semalam di Banting semalam. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Mayat seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaikinya terbalik berhampiran jeti Sungai Rambai Jenjarom, Banting, Ahad lalu telah ditemui hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, mayat mangsa berusia 30-an itu ditemui pada jam lebih kurang 1.25 petang berhampiran jambatan Kampung Sawah Banting, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.

Menurutnya, bilik gerakan negeri telah menerima panggilan mengenai insiden bot terbalik dan nelayan hilang pada jam lebih kurang 3.40 petang sejurus kejadian berlaku.

“Kemudian sepasukan anggota bomba seramai 17 orang bersama sebuah jentera dan dua bot penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang telah dikejarkan ke lokasi kejadian itu.

“Dalam kejadian itu, bot dinaiki mangsa dikenali Azrai bersama dua rakannya, Ady Abdul Rahman, 56, dan Mohd Fairus Mohamad, 40-an, dilaporkan terbalik berhampiran jeti berkenaan.

Mayat nelayan yang hilang ditemui di bawah jambatan perkampungan di Banting di sini . Ihsan Bomba Selangor

“Dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan hilang dalam insiden itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pasukan bomba bertindak memulakan pencarian pada hari kejadian dan bersambung pagi tadiĀ menggunakan dua bot bomba.

GambarĀ  Ihsan Bomba Selangor

“Pencarian telah tertumpu pada radius satu kilometer ke arah Sungai Manggis dan Pulau Carey.

“Sekitar jam 1.25 tengah hari tadi mayat mangsa ditemui dan dibawa keluar menggunakan bot bomba sebelum diserahkan kepada polis, ” tegasnya. – MalaysiaGazette