KUALA LUMPUR – Malaysia kini fokus untuk mempromosikan sejarah negeri Melaka yang merupakan salah satu tapak Warisan Dunia (UNESCO).
Usaha itu untuk meningkatkan lagi kehadiran pelancong dari Thailand, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri.
“Thailand adalah saudara besar kita dan akan kekal sebagai salah satu pasaran terdekat yang penting buat Malaysia.
“Selain itu, kedua -dua negara ini bukan sahaja rapat antara satu sama lain sebagai negara jiran, tetapi Malaysia juga merupakan destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Rangkaian bersama Persatuan Ejen Pelancongan Thai (TTAA) di sini, hari ini.
Menurut beliau, selain Thailand, Singapura dan India adalah penyumbang utama ketibaan pelancong ke Malaysia.
Pada 2019, Malaysia telah menerima kedatangan lebih 1.8 juta pelancong dari Thailand dan hampir 70 peratus daripadanya merupakan pengembara berulang datang untuk bercuti, membeli-belah, dan melawat rakan dan saudara mara.
Sehubungan itu, MOTAC menyasarkan sebanyak dua juta pelancong Thailand akan masuk ke negara ini menjelang akhir tahun ini.
Nancy berkata, kementeriannya akan menyemak semula kedatangan pelancong ke Malaysia pada bulan September memandangkan jumlah pelancong yang datang ke negara ini semakin menggalakkan.
Dalam ucapannya, Nancy berkata, Malaysia antara negara yang paling bebas untuk dilawati selepas pasca pandemik Covid-19, ia termasuklah dari segi kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan kerajaan sejak 1 Mei 2022.
Selain itu, Malaysia tidak mengenakan syarat ujian saringan Covid-19 sebelum dan selepas ketibaan kepada pengembara yang sudah menerima vaksin lengkap, serta mereka yang berusia 17 tahun ke bawah.
“Insurans perjalanan juga bukanlah pra-syarat untuk pelancong luar memasuki negara ini,” tambah Nancy. – MalaysiaGazette