Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencadangkan dua perkara berkaitan penghinaan terhadap agama, bangsa dan negara serta membanteras rasuah untuk didokong dan diberi perhatian oleh kerajaan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali menegaskan, dua perkara itu ialah kembalikan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Sabotaj Ekonomi.

“Dalam ucapan dasar terakhir saya sebagai Presiden Perkasa, saya menyentuh isu berkaitan dengan penghinaan terhadap Islam, orang Melayu, kaum pribumi serta Institusi Diraja.

“Saya cadangkan supaya kerajaan kembalikan semula Akta ISA secepat mungkin kerana punca pihak tertentu ghairah menghina Islam, orang Melayu dan Institusi Diraja disebabkan akta itu dihapuskan.

“Akta ISA yang saya cadangkan ini mesti ada penambahbaikan dengan hukuman yang lebih tegas dan keras seperti melucutkan kerakyatan pihak yang disabitkan menghina agama, bangsa, negara dan raja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Perkasa kali ke-10 di sini, petang semalam.

Di akhir ucapan dasar itu, Dr. Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Presiden dan mencadangkan Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali sebagai penggantinya serta mendapat sokongan sebulat suara perwakilan dan Ahli Dewan Tertinggi (ADT) pertubuhan itu.

Beliau memberi contoh, antara yang harus dilucutkan kerakyatan ialah seorang perempuan yang menghina agama dan bangsanya sendiri dengan menanggalkan tudung serta pakaiannya di sebuah kelab berasaskan komedi di ibu kota baru-baru ini.

Katanya, pemilik kelab komedi berkenaan juga wajar dilucutkan kerakyatan, termasuk seorang lelaki Melayu di Puchong, Selangor semalam yang dibelasah sehingga cedera oleh orang ramai kerana menghina Allah dan Nabi Muhammad.

“Perbuatan ini sudah banyak kali berlaku, tetapi apabila pelaku meminta maaf, kesnya dianggap selesai. Kali ini kita tak boleh maafkan lagi. Kita kena ajar betul-betul mereka yang biadab dan kurang ajar ini.

“Caranya ialah mesti dikembalikan Akta ISA dengan penambahbaikan seperti hukuman melucutkan kerakyatan. Hukuman ini mesti dikenakan ke atas semua kaum yang didapati menghina agama, bangsa, tanah air dan raja Melayu.

“Saya harap tuntutan ini diperkasakan sehingga menjadi kenyataan oleh pimpinan baharu Perkasa,” ujar beliau.

Mengenai cadangan Akta Sabotaj Ekonomi, Dr. Ibrahim berkata, ia bagi menangani isu rasuah yang semakin menjadi-jadi melibatkan orang politik dalam kerajaan dan penjawat awam.

Kata beliau, kaedah yang dilakukan sekarang bagi menangani rasuah tidak dapat menyelesaikan perbuatan itu.

“Memang ada yang telah didakwa, tetapi kenapa ia masih berlaku? Kenapa orang politik dalam kerajaan terlibat dengan rasuah? Kerana mereka mendapat kerjasama dan sokongan daripada pegawai tertentu.

“Mereka inilah yang menjadi tali barut kepada orang-orang politik dalam kerajaan. Kedua-duanya wajar diheret bagi menangani rasuah, sekali gus dapat pertahankan good governance dan melahirkan kerajaan berintegriti.

“Dua perkara ini saya harap didokong oleh perjuangan Perkasa yang baharu, di samping menyeru masyarakat agar memberi sokongan kepada pertubuhan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast